fb fb fb fb fb

Thaksin akan kembali ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan

(FOTO AFP)

BANGKOK, 26 Julai- Jutawan dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra akan kembali ke tanah airnya pada 10 Ogos selepas 15 tahun hidup dalam buangan, kata anak perempuannya.

Taikun berusia 74 tahun itu, dua kali dipilih sebagai perdana menteri tetapi digulingkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006, telah lama berhasrat mahu pulang, tetapi berdepan pelbagai pertuduhan jenayah yang menurutnya bermotifkan politik.

Thaksin adalah seorang pemimpin pro demokrasi dan kepulangannya boleh menyemarakkan keadaan politik yang sudah tegang.

Kerajaan itu berada dalam kebuntuan politik selepas Senat yang dikuasai tentera menyekat ketua Parti Move Forward (MFP) daripada menjadi perdana menteri selepas parti reformis itu memenangi pilihan raya pada Mei.

"Saya tidak percaya apa yang akan saya tulis. Ayah akan kembali pada 10 Ogos di Lapangan terbang Don Meung," anak perempuannya Paetongtarn Shinawatra menulis di laman Facebook rasminya pada Rabu iaitu pada hari jadinya.

Paetongtarn adalah calon untuk menjadi PM bagi parti Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya dan kini cuba membentuk kerajaan selepas MFP disekat.

"Hati saya dan semua orang dalam keluarga kami berasa terharu, gembira dan bimbang, tetapi kami menghormati keputusan ayah," tulisnya.

Beberapa hari sebelum pilihan raya pada Mei, Thaksin berkata di media sosial bahawa dia akan kembali ke Thailand sebelum hari lahirnya kerana dia semakin tua dan ingin meluangkan masa bersama cucunya.

Thaksin disabitkan secara tidak hadir atas pertuduhan rasuah pada 2008 dan sejak itu menghadapi banyak kes lain, namun mengakui bersedia untuk naik mahkamah.

Thaksin dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 selepas dituduh terbabit dalam rasuah dan tidak menghormati sistem beraja negara itu.-AFP


(Paetongtarn bersama ayahnya, Thaksin Shinawatra)

Media Baharu