BANGKOK, 6 Januari- Thailand menerima lebih 35 juta pelancong antarabangsa pada tahun 2024, melebihi sasaran kerajaan, dalam usaha negara itu untuk memulihkan ekonominya.
Menurut Kementerian Sukan dan Pelancongan, sektor pelancongan yang penting bagi ekonomi Thailand menyumbang hampir 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun telah menghadapi cabaran susulan pandemik COVID-19 dan perubahan corak perjalanan pelancong.
"Lebih 35 juta pelawat mengunjungi negara itu pada 2024, kira-kira empat juta kurang daripada tahap tertinggi prapandemik pada 2019.
"China kembali menjadi sumber utama pelawat ke Thailand selepas penurunan ketara pascapandemik dengan lebih enam juta pelawat tahun lalu, diikuti Malaysia dan India," menurut kenyataan itu.
Thailand, yang terkenal dengan pantai yang indah dan kuil-kuil ikoniknya, menjana lebih 1.6 trilion baht ($46 bilion) daripada perbelanjaan pelancong pada tahun 2024, menurut Menteri Pelancongan Sorawong Thienthong.
Kerajaan Thailand di bawah bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin memperkenalkan beberapa langkah untuk menarik pelawat asing, termasuk program visa percuma untuk pelancong dari China dan India.
Terdahulu, kerajaan Thailand telah menetapkan sasaran 39 juta pelawat pada tahun ini. - AFP