BRASÍLIA, 7 Januari- Kerajaan Brazil yang mengambil alih jawatan Pengerusi BRICS pada 1 Januari mengumumkan kemasukan Indonesia ke dalam organisasi itu sebagai anggota penuh, menurut kenyataan Kementerian Luar Brazil pada Isnin.
"Sebagai sebahagian daripada tempoh jawatan Pengerusi BRICS oleh Brazil, yang bermula pada 1 Januari dan akan berakhir pada 31 Disember 2025, Kerajaan Brazil pada hari ini, 6 Januari, secara rasmi mengumumkan penerimaan Republik Indonesia sebagai anggota penuh BRICS," menurut kenyataan kementerian itu.
Sepanjang tempoh presidennya, Brazil berhasrat memperkukuh kerjasama antara negara-negara "Selatan Global" dan mereformasi institusi pelbagai hala.
Salah satu keutamaannya ialah membangunkan sistem pembayaran baharu untuk memudahkan perdagangan antara anggota BRICS.
BRICS ditubuhkan pada 2009 oleh empat negara pengasas iaitu Brazil, Rusia, India, dan China dengan Afrika Selatan menyertai pada tahun berikutnya.
Tahun lalu, keahlian blok itu diperluaskan dengan penyertaan Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu sebagai ahli penuh.
Semasa Sidang Kemuncak BRICS terakhir di Kazan, Rusia pada November 2024, negara anggota membincangkan usaha meningkatkan transaksi tanpa melibatkan dolar Amerika Syarikat (AS) serta memperkukuh mata wang tempatan.
Langkah itu mencetuskan kemarahan Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump yang mengancam anggota blok itu dengan "tarif 100 peratus" jika mereka merendahkan nilai dolar AS. -AFP