NEW YORK, 6 Januari- Jumlah kematian kanak-kanak di Gaza akibat cuaca sejuk dan ketiadaan tempat tinggal meningkat kepada tujuh orang.
Menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), keadaan itu disebabkan oleh serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), UNRWA menjelaskan bahawa cuaca sejuk dan ketiadaan tempat tinggal menjadi punca utama kematian bayi baharu lahir di Gaza.
"Sebanyak 7,700 bayi baru lahir tidak menerima rawatan penting yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka," menurut WAFA.
UNRWA turut memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam serangan tentera Israel serta penutupan Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.
"Israel telah disahkan melakukan 50 serangan ke atas Hospital Kamal Adwan dan kawasan sekitarnya sejak Oktober 2024.
"WHO juga menyeru pembebasan Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr. Hussam Abu Safia," lapor WAFA.