BANGKOK, 26 Julai - Thailand menggesa media asing supaya menyemak ketepatan imej dan maklumat berkaitan ketegangan sempadan yang sedang memuncak, sambil memberi amaran bahawa laporan yang tidak tepat atau mengelirukan boleh memburukkan lagi keadaan yang sememangnya genting.
Jurucakap kerajaan Jirayu Huangsap berkata pada Sabtu bahawa beberapa organisasi berita antarabangsa telah menyiarkan laporan yang mengandungi fakta tidak tepat dan kapsyen gambar yang salah ketika pertempuran di sempadan memasuki hari ketiga berturut-turut.
Beliau memberi amaran bahawa laporan yang tidak lengkap atau di luar konteks boleh mencetuskan salah faham antarabangsa yang serius.
“Kerajaan Thailand bersedia memberikan maklumat secara terbuka dan berdasarkan fakta, dengan menghormati sepenuhnya peranan media dalam menyampaikan kebenaran kepada masyarakat dunia.
“Sekiranya terdapat kekeliruan atau perkara yang tidak jelas, pihak media digalakkan menghubungi sama ada Kementerian Luar Thailand atau Pasukan Petugas Pentadbiran Situasi Sempadan Thai - Kemboja (TCB-SAT),” katanya dalam satu kenyataan.
Merujuk kepada laporan tidak tepat oleh media, Jirayu memberi contoh beberapa laporan yang mengelirukan - termasuk tajuk berita bertarikh 24 Julai yang berbunyi “Thailand bombs Cambodia with F-16s” tanpa menjelaskan bahawa tindakan itu adalah tindak balas terhadap serangan terdahulu oleh tentera Kemboja.
Beliau turut menegur kapsyen gambar yang salah, menunjukkan kawasan dan penduduk awam di wilayah Thailand tetapi didakwa sebagai dari Kemboja.
Thailand dan Kemboja terbabit dalam pertikaian diplomatik sejak 28 Mei lepas susulan insiden tembak-menembak antara anggota tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan berhampiran Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama dalam pertikaian kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda sempadan rasmi, dan sering menjadi punca ketegangan dan mengeruhkan hubungan diplomatik.
Terbaharu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja dilaporkan bertempur awal Khamis di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh satu sama lain mencetuskan serangan.- BERNAMA