BRUSSELS, 26 Julai - Belgium bersedia untuk melaksanakan semula misi penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara ke Gaza, kata Menteri Pertahanan Belgium, Theo Francken pada Sabtu.
“Kami telah bersedia selama beberapa minggu untuk melaksanakannya semula dari Jordan,” katanya kepada akhbar berbahasa Belanda Het Laatste Nieuws, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami sedang mengusahakannya. Situasi kemanusiaan amat kritikal. Kami mesti membantu. Jika Jordan dan Israel memberi lampu hijau, ia akan berlaku,” katanya.
Belgium sebelum ini pernah menyertai usaha antarabangsa bersama untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui udara ke wilayah Palestin yang dikepung itu.
Kementerian Kesihatan di Gaza pada Jumaat memaklumkan bahawa sembilan lagi penduduk Palestin meninggal dunia dalam tempoh 24 jam akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan,menjadikan jumlah kematian berkaitan kebuluran kini meningkat kepada 122 orang, termasuk 83 kanak-kanak.- BERNAMA/ANADOLU