fb fb fb fb fb

Thailand dakwa Kemboja serang pangkalan tentera dan kawasan awam

Foto Reuters

BANGKOK, 24 Julai – Thailand mendakwa Kemboja telah melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tenteranya serta kawasan awam, termasuk sebuah hospital, ketika pertikaian sempadan antara kedua-dua negara semakin memuncak menjadi pertempuran bersenjata.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata artileri berat telah ditembak ke arah pangkalan tentera dan serangan berterusan sepanjang pagi.

“Serangan turut menyasarkan kawasan awam Thailand, termasuk sebuah hospital, yang mengakibatkan kecederaan dan kematian dalam kalangan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebagai reaksi balas, Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh pesawat pejuang F-16 milik Thailand telah menggugurkan dua bom di atas sebatang jalan raya.

Kemboja turut mengeluarkan kenyataan tegas mengecam tindakan Thailand.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Kerajaan Thailand yang melampau dan kejam terhadap kedaulatan serta keutuhan wilayah Kemboja,” menurut kenyataan rasmi kementerian itu.

Ketegangan memuncak selepas Thailand memanggil pulang dutanya dari Phnom Penh pada lewat Rabu (23 Julai) dan mengumumkan pengusiran duta Kemboja dari Bangkok.

Langkah itu diambil susulan insiden kedua dalam tempoh seminggu yang menyaksikan seorang anggota tentera Thailand kehilangan anggota badan akibat jerangkap samar yang didakwa dipasang baru-baru ini di kawasan sempadan yang masih menjadi pertikaian. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN