BRUSSELS, 24 Julai – Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menyambut baik langkah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang berikrar untuk membentangkan rang undang-undang baharu bagi menjamin kebebasan institusi antirasuah negara itu.
Jurucakap EU, Stefan de Keersmaecker berkata, pihaknya mengambil maklum tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Ukraine dan bersedia untuk bekerjasama bagi memastikan kebimbangan berhubung usaha memerangi rasuah ditangani dengan sewajarnya.
“Kami mengalu-alukan tindakan tersebut dan terus bekerjasama dengan mereka bagi memastikan kebimbangan mengenai usaha memerangi rasuah — yang merupakan keutamaan utama bagi EU dan Ukraine — ditangani dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan bantahan dalam kalangan rakyat Ukraine terhadap undang-undang baharu yang ditandatangani Zelensky awal minggu ini, yang didakwa menghakis kebebasan dua institusi penting antirasuah negara berkenaan.
Langkah tersebut turut mengundang teguran luar biasa daripada penyokong utama Ukraine, termasuk Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, yang menuntut penjelasan rasmi daripada Zelensky.
Sebagai tindak balas, Presiden Ukraine itu pada Rabu mengumumkan akan mengemukakan rang undang-undang baharu bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kebebasan institusi antirasuah.
Kritikan dari Brussels – yang merupakan penyumbang dana utama kepada Ukraine semasa konflik dengan Rusia – hadir ketika Kiev sedang giat berusaha untuk menyertai EU, blok serantau yang kini terdiri daripada 27 negara anggota.
Pematuhan terhadap prinsip integriti dan ketelusan, khususnya dalam usaha membanteras rasuah, merupakan antara syarat utama keahlian EU, memandangkan Ukraine mempunyai rekod panjang berkaitan isu rasuah sebelum ini. -AFP