BRUSSELS, 24 Julai β Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menggariskan tanggungjawab negara-negara dalam menangani perubahan iklim, sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan penting dalam usaha global memerangi krisis iklim.
Menurut ICJ, perubahan iklim merupakan "ancaman segera dan eksistensial", dan negara-negara mempunyai kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa untuk mencegah kemudaratan akibat pencemaran yang menyebabkan pemanasan global.
Kegagalan melaksanakannya boleh dianggap sebagai "tindakan salah" dan berpotensi membawa kepada tuntutan pampasan.
βIa hanya mengesahkan betapa besarnya cabaran yang kita hadapi, serta pentingnya tindakan iklim dan pelaksanaan Perjanjian Paris. Ia juga mengukuhkan keperluan untuk tindakan kolektif dan berani,β kata jurucakap Suruhanjaya Eropah, Anna-Kaisa Itkonen dalam satu sidang akhbar.
Katanya lagi, Suruhanjaya, selaku badan eksekutif tertinggi EU telah mengambil maklum pandangan tersebut dan sedang meneliti secara mendalam implikasinya terhadap dasar iklim sedia ada.
EU, tambahnya, kekal komited untuk mencapai sasaran neutraliti iklim menjelang tahun 2050.
Awal bulan ini, EU turut mengumumkan sasaran baharu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 90 peratus menjelang tahun 2040 berbanding paras tahun 1990.
Namun, sasaran itu turut disertakan beberapa kelonggaran yang menimbulkan perdebatan, khususnya bagi meyakinkan negara anggota yang lebih skeptikal terhadap pelaksanaannya. -AFP