KHARKIV, 24 Julai – Sekurang-kurangnya 33 orang cedera apabila tentera Rusia melancarkan serangan menggunakan bom berpandu ke atas kawasan kediaman di Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine, menurut pegawai tempatan.
Gabenor wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov berkata, antara mangsa yang cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, dua remaja berusia 17 tahun dan seorang bayi berusia 28 hari.
Serangan yang melibatkan dua bom itu turut merosakkan sebuah premis perniagaan, bangunan pangsapuri serta beberapa buah kenderaan di kawasan utara bandar tersebut.
Saksi melaporkan kepulan asap hitam tebal di lokasi kejadian, manakala penduduk dilihat melarikan diri dalam keadaan panik termasuk ibu bapa yang mendukung anak kecil ketika api marak membakar kereta-kereta yang diparkir berhampiran.
Walaupun Rusia menafikan menyasarkan kawasan awam, serangan udara ke atas bandar dan pekan jauh dari garis hadapan dilaporkan semakin meningkat sejak kegagalan rundingan damai awal tahun ini.
Bom berpandu yang digunakan dalam serangan tersebut dikenal pasti sebagai senjata berkuasa tinggi yang mampu membawa kemusnahan besar dari jarak jauh, terutamanya di kawasan berhampiran zon pertempuran.
Menurut pendakwa wilayah, serangan pada Khamis itu dilancarkan dari lokasi hampir 100 kilometer dari sasaran.
Kharkiv, yang terletak di timur laut Ukraine berdekatan sempadan Rusia, telah menjadi sasaran serangan berulang sejak tentera Moscow berundur dari pinggir bandar itu pada tahun 2022. -REUTERS