AMMAN, 24 Julai – Pertubuhan Amal Hasyemit Jordan, dengan kerjasama World Central Kitchen dan Program Makanan Sedunia (WFP), menghantar satu konvoi bantuan ke Gaza pada Khamis, ketika krisis kebuluran di wilayah itu semakin meruncing.
Beberapa buah trak dilihat bergerak di lebuh raya utama di ibu negara Jordan, Amman, membawa bekalan bantuan yang dipercayai untuk penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat konflik berpanjangan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, puluhan penduduk telah meninggal dunia akibat kebuluran dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa seramai 21 kanak-kanak bawah lima tahun turut menjadi mangsa kekurangan zat makanan setakat tahun ini.
Israel memutuskan semua saluran bekalan ke Gaza sejak awal Mac lalu, sebelum membuka semula laluan bantuan dengan sekatan tambahan pada Mei.
Pihak Israel mendakwa mereka tetap komited membenarkan bantuan kemanusiaan masuk, namun perlu mengawalnya bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh kumpulan militan.
Israel juga menegaskan bahawa jumlah makanan yang dibenarkan masuk sepanjang konflik sudah mencukupi untuk keperluan 2.2 juta penduduk Gaza, dan menyalahkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) atas kelewatan pengagihan.
Sebaliknya, PBB menegaskan bahawa agensinya beroperasi sebaik mungkin di bawah kekangan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel. -REUTERS