DENPASAR, 24 Julai – Tiga warga Britain dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun oleh mahkamah Bali, Indonesia, selepas didapati bersalah menyeludup hampir satu kilogram kokain ke pulau peranginan itu awal tahun ini.
Lisa Ellen Stocker, 39, dan Jonathan Christopher Collyer, 37, ditahan oleh pihak imigresen Bali pada Februari lalu ketika cuba membawa masuk dadah yang disembunyikan dalam bungkusan pencuci mulut berjenama "Angel Delight".
Rakan subahat mereka, Phineas Ambrose Float, 31, ditahan dua hari kemudian.
Stocker dan Collyer dalam pembelaan mereka mendakwa tidak mengetahui kandungan sebenar bungkusan tersebut.
Keputusan mahkamah pada Khamis itu mengejutkan pelbagai pihak, memandangkan Indonesia mempunyai undang-undang dadah yang sangat ketat dan sering menjatuhkan hukuman berat, termasuk hukuman mati, terhadap penyeludup dadah asing – antaranya warganegara Australia, Filipina dan Perancis. -REUTERS