fb fb fb fb fb

Cyprus dilanda kebakaran besar, suhu cecah 44°C

Foto AFP

NICOSIA, 24 Julai - Dua individu maut dalam kebakaran hutan besar yang melanda kawasan perbukitan di luar bandar Limassol, Cyprus, ketika suhu mencecah 44 darjah Celsius dan angin kencang menyemarakkan api, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Polis memaklumkan dua mayat rentung ditemukan dalam sebuah kereta yang hangus, dipercayai terperangkap sejak kebakaran bermula pada petang Rabu.

Dua mangsa lain dimasukkan ke hospital akibat melecur teruk, manakala 16 lagi cedera ringan.

Kebakaran yang tercetus di kampung Malia telah memusnahkan lebih 100 kilometer persegi kawasan hutan. Walaupun tiada lagi bahagian kebakaran aktif, pihak bomba melaporkan nyalaan semula masih berlaku.

Lebih 250 anggota bomba dan 75 jentera dikerah ke lokasi. Cyprus turut meminta bantuan negara jiran, termasuk Jordan dan Sepanyol yang menghantar pesawat pemadam api.

Sebanyak 106 penduduk dipindahkan dan ditempatkan di pusat sementara, manakala 16 komuniti terputus bekalan elektrik.

Ketua bomba, Nikos Logginos memaklumkan kemungkinan kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat, dan siasatan sedang dijalankan.

Cyprus sering mengalami kebakaran hutan ketika musim panas. Pada 2021, empat pekerja ladang warga Mesir terkorban dalam kebakaran di Larnaca. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN