BANGKOK, 17 Jun - Mahkamah di Thailand meluluskan permohonan Thai Airways untuk keluar daripada pelan pemulihan hutang yang dilaksanakan, selepas syarikat penerbangan kebangsaan itu bergelut untuk terus bertahan susulan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19.
Thai Airways telah memulakan proses penstrukturan semula yang diselia mahkamah pada tahun 2020 bagi menyelesaikan beban hutang sebanyak 400 bilion baht dan memaklumkan bahawa syarikat itu telah mula mencatatkan pendapatan yang stabil sejak 2023.
Dalam satu kenyataan, Thai Airways memberitahu ia telah berjaya memulihkan perniagaannya.
“Thai Airways telah berjaya bangkit melalui penstrukturan semula organisasi, peluasan laluan penerbangan serta penambahbaikan perkhidmatan dalam pesawat,” jelas kenyataan tersebut.
Ia kini turut merancang untuk kembali disenaraikan di Bursa Saham Thailand menjelang awal Ogos, selepas dinyahsenaraikan pada tahun 2021 berikutan isu kewangan dan pemilikan saham.
Mahkamah Kebankrapan Pusat pada Isnin meluluskan permohonan untuk menamatkan program pemulihan tersebut dengan Kementerian Kewangan Thailand kekal sebagai pemegang saham terbesar Thai Airways dengan pegangan hampir 40 peratus. - AFP