fb fb fb fb fb

Polis tahan 2 suspek kes tembak mati warga Australia di Bali

FOTO AFP

DENPASAR, 17 Jun- Dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga Australia di sebuah vila di pulau peranginan popular Indonesia, Bali, telah diberkas selepas beberapa hari diburu pihak berkuasa, menurut kenyataan polis pada Selasa.

Mangsa, Zivan Radmanovic, 32 tahun, maut selepas dua lelaki dipercayai menceroboh masuk ke vila miliknya di kawasan pelancongan Canggu pada Sabtu lalu sebelum melepaskan tembakan. Seorang lagi mangsa, Sanar Ghanim, 34 tahun, dilaporkan cedera parah dalam kejadian itu.

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, memaklumkan bahawa seorang suspek telah ditahan di ibu negara Jakarta, manakala seorang lagi akan dibawa pulang dari luar negara. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan negara terlibat atau identiti suspek.

“Mengenai kes tembakan yang melibatkan warga Australia, saya sudah menerima laporan daripada Ketua Polis Daerah Bali. Mereka telah ditahan,” katanya dalam satu sidang media.

“Seorang kini berada di Jakarta, manakala seorang lagi dalam perjalanan pulang dari luar negara dan akan tiba di Jakarta,” jelas beliau.

Tangkapan dibuat hasil kerjasama antara pihak polis Indonesia, Jabatan Imigresen serta Polis Persekutuan Australia (AFP). Polis Bali dijangka akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung penahanan tersebut.

Menurut kenyataan polis tempatan, saksi termasuk isteri Radmanovic memaklumkan suspek yang melarikan diri daripada lokasi kejadian bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Australia yang ketara.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE