fb fb fb fb fb

PBB laung amaran, kebuluran di Haiti semakin parah

FOTO REUTERS

PORT-AU-PRINCE, 17 Jun- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa krisis kelaparan di Haiti kini berada pada tahap membimbangkan, dengan lebih 8,400 penduduk dilaporkan berdepan kebuluran tahap kritikal akibat konflik bersenjata, desakan ekonomi dan bencana alam.

Dalam laporan Hunger Hotspots yang diterbitkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Makanan Sedunia (WFP), PBB menyatakan Haiti antara negara yang kini berisiko tinggi berdepan kebuluran besar-besaran sekiranya tiada tindakan segera diambil.

“Konflik bersenjata, ekonomi yang runtuh, dan kejadian cuaca melampau menjadikan keadaan semakin parah di kawasan paling terjejas,” menurut laporan itu.

Menurut takrifan PBB, kebuluran secara rasmi diisytiharkan jika sekurang-kurangnya 20% penduduk di satu kawasan mengalami kekurangan makanan teruk, 30% kanak-kanak menderita malnutrisi akut dan dua kematian berlaku setiap hari bagi setiap 10,000 penduduk akibat kebuluran atau penyakit berkaitan.

Di Haiti, keganasan kumpulan bersenjata yang semakin memuncak telah memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka. Di tengah-tengah ketidakstabilan itu, rakyat terus bergelut untuk mendapatkan makanan asas.

Di pasar ibu negara Port-au-Prince, penduduk menggambarkan kesukaran harian untuk mendapatkan bekalan makanan, dengan ramai mengadu hidup dalam ketakutan dan rasa tidak berdaya.

Walaupun misi keselamatan diketuai Kenya dengan sokongan PBB telah mula digerakkan, pakar menegaskan ia masih belum mencukupi untuk memulihkan keadaan, apatah lagi mengekang pengaruh kumpulan bersenjata yang menguasai beberapa kawasan utama.

PBB menggesa tindakan segera dan bantuan kemanusiaan berskala besar bagi mengelakkan bencana kebuluran terus merebak di negara yang sudah lama bergelut dengan krisis politik dan ekonomi itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE