PHNOM PENH, 17 Jun - Kemboja mula menguatkuasakan larangan import buah-buahan dan sayur-sayuran dari Thailand selepas negara Gajah Putih itu mengenakan sekatan lintas sempadan susulan krisis yang berlaku antara kedua-dua negara sejak bulan lalu.
Sebelum ini, bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, mengeluarkan ultimatum kepada Thailand agar menarik balik sekatan dalam tempoh 24 jam atau berdepan larangan penuh terhadap import buah dan sayur.
Sebelum itu, Kemboja turut melarang siaran drama Thailand di televisyen dan pawagam, menutup salah satu pintu sempadan utama serta mengurangkan jalur lebar internet dari Thailand sebagai tindak balas.
Bagimanapun ia tetap tidak merubah keputusan Thailand dan sekatan sempadan terus dikenakan.
Puluhan ribu pekerja migran Kemboja di Thailand turut digesa pulang ke tanah air, dengan alasan mereka bakal berdepan diskriminasi jika konflik berlanjutan.
Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand berpunca daripada penandaan sempadan sepanjang 800 kilometer yang dibuat pada awal abad ke-20 semasa penjajahan Perancis di Indochina.
Ketegangan memuncak apabila seorang askar Kemboja terbunuh pada 28 Mei apabila pasukan tentera dari kedua-dua negara melepaskan tembakan di kawasan pertikaian yang dikenali sebagai Segitiga Zamrud, tempat pertemuan sempadan Kemboja, Thailand dan Laos. - AFP