ASTANA, 17 Jun - Presiden China, Xi Jinping menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin-pemimpin Asia Tengah di Astana, Kazakhstan pada Selasa dalam usaha mengukuhkan pengaruh Beijing di rantau strategik itu.
Ini merupakan lawatan kedua Xi ke Asia Tengah dalam tempoh kurang setahun ketika China bersaing rapat dengan Rusia untuk memperluas jaringan geopolitik di kawasan yang kaya dengan sumber asli dan terletak di antara Eropah dan Asia.
Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan pemimpin dari Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan, lima negara bekas Soviet yang kini semakin aktif menarik pelaburan dari kuasa besar termasuk China dan Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan dua hala bersama Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov, Xi menyeru agar kedua-dua negara memperluas perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama dalam sektor baharu seperti tenaga bersih, mineral hijau dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau juga turut menekankan kepentingan projek landasan kereta api China-Kyrgyzstan-Uzbekistan serta menyatakan sokongan penuh terhadap kemerdekaan dan keselamatan Tajikistan ketika bertemu Presiden Emomali Rahmon.
Perbincangan turut diadakan bersama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdymukhamedov.
Walaupun hubungan dengan Rusia kekal penting, negara-negara Asia Tengah kini lebih terbuka dalam menyelaraskan dasar luar mereka demi mengimbangi pengaruh kuasa besar.
Selain menjalin kerjasama rapat dengan China dan Rusia, mereka turut mengadakan rundingan dalam format "5+1" bersama Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Turkiye dan negara Barat lain. - AFP
