fb fb fb fb fb

Terbabit pelbagai kes termasuk rogol & ugutan: Anak Puteri Norway disiasat

Marius Borg Hoiby (kiri) bersama ibunya, Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit dalam satu acara di Oslo, Norway pada 16 Jun 2022 / AFP

OSLO, 28 Jun- Marius Borg Hoiby, anak lelaki kepada Puteri Mahkota Norway, kini disiasat atas tiga tuduhan rogol serta lebih sedozen kesalahan jenayah lain, menurut kenyataan polis negara itu pada Jumaat.

Menurut Peguam Polis, Andreas Kruszweski, siasatan yang dilancarkan sejak Ogos tahun lalu kini telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk pertimbangan sama ada pendakwaan akan dilakukan.

Marius, 28 tahun, ialah anak kepada Puteri Mahkota Mette-Marit hasil daripada hubungan sebelum berkahwin dengan Putera Mahkota Haakon. Beliau mula menjadi subjek siasatan selepas ditahan pada 4 Ogos 2024 atas dakwaan menyerang teman wanitanya, yang kemudiannya membawa kepada pelbagai dakwaan lain.

Peguamnya, Ellen Holager Andenaes, memaklumkan kepada agensi berita NTB bahawa anak guamnya menafikan ketiga-tiga tuduhan rogol yang dikenakan terhadapnya.

Selain kes rogol, Marius turut disyaki terlibat dalam empat kes kelakuan seksual tidak senonoh, satu kes penderaan dalam hubungan rapat, dua kes mendatangkan kecederaan fizikal, satu kes kerosakan harta benda, serta satu kes ugut.

Polis turut memaklumkan Marius melanggar lima perintah sekatan, selain didakwa menghina seorang pegawai polis dan terlibat dalam lima kesalahan trafik.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE