fb fb fb fb fb

Rogol berkumpulan, tiga ditahan di Kolkata

FOTO HIASAN

NEW DELHI, 27 Jun- Polis India menahan tiga lelaki yang disyaki merogol secara berkumpulan seorang pelajar undang-undang di Kolkata.

Menurut laporan media tempatan, mangsa mendakwa dia dirogol di dalam sebuah bilik di kawasan kolej pada Rabu malam, membabitkan dua pelajar dan seorang bekas pelajar.

Parti pemerintah negeri Bengal Barat, All India Trinamool Congress (AITC), memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil.

“Tindakan undang-undang sepenuhnya akan dikenakan,” menurut kenyataan AITC.

Kes tersebut menghangatkan lagi ketegangan politik antara AITC dan parti Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, yang menuduh kerajaan negeri gagal melindungi wanita.

“Bengal Barat kini menjadi tempat 'subur' untuk jenayah terhadap wanita. Jentera kerajaan terus mengecewakan anak-anak perempuannya,” menurut kenyataan BJP. AITC bagaimanapun menolak tuduhan tersebut.

Kes tersebut berlaku kurang setahun selepas seorang doktor wanita berusia 31 tahun dirogol dan dibunuh di hospital kerajaan Kolkata, dengan pelaku dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah pada Januari lalu.

Kematian doktor tersebut mencetuskan protes di seluruh negara, mengulangi trauma nasional terhadap kes rogol kejam pada 2012 di New Delhi yang menggegarkan seluruh India dan mencetuskan reformasi undang-undang.

Menurut statistik rasmi, India merekodkan purata hampir 90 kes rogol setiap hari pada tahun 2022.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE