PARIS, 27 Jun- Perancis akan melaksanakan larangan merokok di lokasi awam seperti pantai, taman, luar sekolah, perhentian bas dan kemudahan sukan bermula 1 Julai ini, bagi menurunkan risiko kanser serta melahirkan generasi bebas rokok.
Larangan itu bagaimanapun tidak terpakai di teres luar kafe dan tidak melibatkan rokok elektronik. Ia menyusul langkah serupa yang dilaksanakan di negara Eropah lain termasuk UK, Sepanyol dan Sweden.
Kementerian Kesihatan Perancis memaklumkan, rokok mengakibatkan 75,000 kematian setiap tahun bersamaan 200 kematian sehari, dengan kos sosial mencecah 150 bilion euro setahun. Pada 2023, 15.6% remaja 17 tahun ke atas dilaporkan merokok setiap hari.
Presiden Liga Menentang Kanser, Philippe Bergerot berkata larangan itu bertujuan mengubah norma sosial agar generasi muda tidak menganggap merokok sebagai perkara biasa. Jika orang ramai kurang melihat individu merokok, keinginan mencuba juga menurun.
Setakat ini, lebih 7,000 zon larangan merokok telah diwujudkan oleh pihak berkuasa tempatan. Namun, ada yang melihat larangan itu sebagai sekatan kebebasan peribadi, walaupun pihak berkuasa tempatan menegaskan ia penting demi kesihatan awam dan mengurangkan pencemaran puntung rokok.
Kajian terbaharu menyenaraikan Perancis sebagai negara kedua tertinggi kadar perokok dalam kalangan negara OECD, selepas Indonesia, walaupun kadar merokok harian kini berada di paras terendah sejak lewat 1990-an.-REUTERS