MARSEILLE, 27 Jun- Dua lelaki didakwa atas kesalahan membunuh seorang pengantin wanita berusia 27 tahun yang ditembak mati dalam majlis perkahwinannya sendiri di selatan Perancis.
Dalam kejadian pada Ahad lalu di kampung pergunungan Goult, empat lelaki bertopeng melepaskan tembakan ke arah beberapa tetamu termasuk pengantin lelaki dan anak saudara pengantin perempuan berusia 13 tahun di kawasan parkir luar dewan majlis.
Menurut Pendakwa Raya Marseille, Nicolas Bessone, pengantin perempuan maut di tempat kejadian selepas terkena beberapa das tembakan berhampiran arteri karotid, manakala suaminya cedera di bahagian atas badan. Anak saudara mangsa turut cedera parah di paru-paru dan pada awalnya dilaporkan kritikal.
Turut cedera dalam serangan itu ialah kakak kepada pengantin lelaki yang terkena tembakan di bahu.
Salah seorang penyerang maut di lokasi, dipercayai ditembak dari belakang serta dilanggar sebuah kenderaan ketika kejadian. Tiga lagi suspek melarikan diri, namun dua daripada mereka berjaya ditahan di sebuah bandar berhampiran beberapa jam kemudian. Suspek keempat masih diburu polis.
Selepas ditahan selama 96 jam, dua suspek utama telah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa atas kesalahan membunuh dan cubaan membunuh dalam kumpulan terancang.
Siasatan awal mengesyaki insiden berpunca daripada dendam berkait aktiviti dadah, memandangkan pengantin lelaki dikenali pihak berkuasa kerana terlibat dalam jenayah terancang.-AFP