fb fb fb fb fb

Tentera udara Rusia mendarat di Kharkiv, ribuan pelancong Ukraine terkandas

(Serangan tentera Rusia pada 1 Mac 2022 memusnahkan salah satu kawasan di bandar Kharkiv/AFP)

KIEV, 2 Mac- Tentera udara Rusia dilaporkan sudah mendarat di timur bandar Ukraine, Kharkiv hari ini, menurut tentera Ukraine dan menambah pertempuran berlaku sebaik pendaratan dikesan.

“Tentera udara Rusia mendarat di Kharkiv… dan menyerang hospital tempatan,” kata kenyataan dikeluarkan pihak tentera menerusi mesej Telegram. “Berlaku pertempuran berterusan antara penceroboh dengan pihak Ukraine.”

Kharkiv, bandar berhampiran sempadan Rusia dihuni kira-kira 1.4 juta penduduk yang sebahagian mereka berbahasa Rusia.

Bandar itu menjadi sasaran tentera Rusia sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine pada Khamis minggu lalu.

(Rakyat Ukraine mengadakan prostes antiperang di luar kedutaan Rusia di Nicosia/Fail AFP)

Dalam perkembangan lain, kira-kira 3,000 pelancong Ukraine terkandas di Republik Dominika dan berdepan masalah kehabisan wang selepas pencerobohan Rusia dan memerlukan bantuan, lapor pejabat konsulat pada Selasa.

“Rakyat Ukraine yang terkandas itu memerlukan bantuan daripada Republik Dominika, mereka perlukan wang, baju dan banyak lagi,” kata konsul kehormat Ukraine, Ilona Oleksandrivna dalam sidang media di Santo Domingo.

Jelasnya, 1,200 daripada 3,000 rakyat Ukraine yang terkandas di negara Caribbean telah diusir keluar dari hotel tempat mereka menginap kerana mereka tidak mempunyai wang untuk melanjutkan penginapan mereka.

Susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, 27 negara Kesatuan Eropah telah menutup ruang udara mereka kepada syarikat penerbangan Rusia.

Moscow pula bertindak balas dengan menutup ruang udaranya kecuali dalam kes ‘kebenaran khas’ kepada syarikat penerbangan dari 36 negara Eropah dan Kanada. -AFP

Media Baharu