fb fb fb fb fb

AS keluarkan 30 juta tong rizab minyak stabilkan harga semasa konflik Rusia - Ukraine

(Presiden AS Joe Biden selesai menyampaikan ucapan State of the Union di Capitol's House Chamber Washington, pada 1 Mac 2022/AFP)

WASHINGTON, 2 Mac- Amerika Syarikat akan mengeluarkan 30 juta tong minyak daripada Rizab Petrolium Strategik negara itu sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk menstabilkan pasaran harga susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Saya boleh umumkan bahawa AS akan bekerjasama dengan 30 negara lain untuk mengeluarkan 60 juta tong rizab minyak dari seluruh dunia. Amerika akan mengetuai usaha itu dengan mengeluarkan 30 juta tong," kata Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden kepada ahli Kongres.

Biden turut menegaskan bahawa "Washington sentiasa bersedia untuk melakukan lebih banyak tindakan, jika diperlukan," katanya semasa ucapan sulung State Of Union.

(Gambar Fail)

Harga minyak direkodkan melonjak sepanjang hari dengan harga minyak mentah Brent mencecah melebihi AS$110 setong sebaik dagangan dibuka di Asia.

Brent naik 4.88 peratus kepada AS$110.09, manakala WTI naik 5.06 peratus kepada 108.64. Kedua-duanya berada pada paras tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh lebih tujuh tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Biden menyifatkan Presiden Rusia Vladimir Putin telah 'diasingkan' daripada dunia luar atas tindakannya menghantar tentera ke Ukraine dan berikrar akan mengenakan sekatan paling ketat yang akan melemahkan ekonomi Rusia juga kekuatan tentera.

“Putin sekarang ini diasingkan daripada dunia luar lebih daripada apa yang pernah dialami,” Kata Biden kepada ahli kongres sambil menambah “dia tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya” daripada segi hukuman dan tindakan ekonomi.

Presiden Amerika itu turut menyasarkan kumpulan kecil pemerintahan (oligarki) Rusia dan pemimpin rasuah yang didakwa telah mengeluarkan berbilion-bilion dolar daripada pemerintahan Putin dan memberi amaran bahawa “kami akan bertindak atas keuntungan yang diperoleh secara haram”. -AFP

Media Baharu