fb fb fb fb fb

Tentera Taliban berjaya bunuh perancang utama serangan di Kabul

(Foto hiasan/AFP)

WASHINGTON, 26 April- Tentera kerajaan Taliban berjaya membunuh dalang serangan bom bunuh diri oleh militan Daesh atau ISIS semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan pada 2021. Perkara itu disahkan White House pada Selasa.

Pelaku meletupkan peranti bom tatkala orang ramai bersesak untuk melarikan diri dari Afghanistan, perisitwa pada 26 Ogos 2021. Letupan menyebabkan kira-kira 170 warga Afghanistan dan 13 tentera AS yang mengawal laluan keluar, terbunuh.

Peristiwa itu antara tragedi terbesar menyebabkan kehilangan nyawa dan mencetuskan kritikan dunia kepada kepimpinan Presiden AS, Joe Biden atas keputusannya untuk memanggil pulang tentera AS dari Afghanistan selepas hampir 20 tahun menceroboh bumi Afghanistan.  

Menurut jurucakap keselamatan White House, John Kirby dalam kenyataannya, pemimpin militan Daesh yang merancang serangan itu berjaya dibunuh oleh pihak berkuasa Taliban.

“Dia merupakan pegawai utama ISIS-K yang terlibat secara langsung dalam merancang operasi serangan seperti Abbey Gate, yang kini (dia) tidak lagi mampu merancang atau melakukan serangan," kata Kirby, sambil merujuk tempat di luar lapangan terbang, lokasi serangan berlaku.


(Anggota keselamatan Taliban mengadakan kawalan di Masjid Eid Gah
di Kabul pada 20 April 2023/AFP)

ISIS-K merujuk Islamic State Khorasan atau Militan Daesh Khorasan, cawangan kumpulan militan yang beroperasi di Afghanistan dan Pakistan.

“Dia terbunuh dalam satu operasi Taliban, tambah Kirby tanpa memberikan butiran lanjut mengenainya.

Setakat berita ini disiarkan, pihak berkuasa Taliban belum memberi maklum balas kepada pengesahan yang diminta wartawan AFP.

Proses penghantar pulang tentera AS di Afghanistan berakhir pada 30 Ogos 2021, menyaksikan para pejuang Taliban segera mengetepikan tentera yang dilatih Barat, memaksa pihak berkuasa AS menyegerakan pemindahan terakhir tenteranya dari lapangan terbang Kabul.

Operasi itu, yang tidak pernah berlaku sebelum ini berjaya menguruskan lebih 120,000 individu keluar dari Afghanistan, hanya dalam tempoh beberapa hari.

Biden mempertahankan keputusannya mengarahkan pulang tentera AS di Afghanistan, meskipun pengkritik mengatakan langkah itu menyebabkan kejatuhan tentera kerajaan Afghanistan seterusnya membuka jalan untuk Taliban kembali berkuasa, dua dekad selepas penguasaan kerajaan pertama mereka digulingkan. -AFP

Media Baharu