fb fb fb fb fb

Tentera Sudan, RSF setuju gencatan senjata tujuh hari

(Foto REUTERS)

DUBAI, 21 Mei- Pihak bertelagah di Sudan menandatangani perjanjanjian bagi melaksanakan gencatan senjata dan membuka laluan kemanusiaan selama tujuh hari, berkuatkuasa 9:45 malam, waktu tempatan, esok.

Pengumuman dibuat Amerika Syarikat dan Arab Saudi dalam kenyataan bersama selepas rundingan bersama kumpulan bertelagah di Jeddah.

Sebelum ini, banyak perjanjian gencatan senjata tidak ditepati.

Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut akan dikuatkuasakan oleh mekanisme pemantauan yang disokong oleh Amerika Syarikat, Arab Saudi dan antarabangsa, menurut kenyataan itu tanpa memberikan butiran.

Wakil pihak tentera Sudan dan pasukan separa tentera, RSF turut berikar tidak akan mengambil kesempatan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.


(Kepulan asap di sekitar Khartoum semasa tercetusnya pertempuran
antara pasukan tentera dan RSF/REUTERS)

Perjanjian itu juga menyeru untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan, memulihkan perkhidmatan penting dan menarik balik pasukan dari hospital dan kemudahan awam yang penting.

Pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera membawa kepada keruntuhan undang-undang.

Stok makanan, wang tunai dan barangan keperluan semakin berkurangan dan rompakan besar-besaran melanda bank, kedutaan, gudang bantuan dan juga gereja.

Kumpulan bantuan berkata mereka tidak dapat memberikan bantuan yang mencukupi di Khartoum, jika tiada laluan selamat dan jaminan keselamatan.

"Sudah tiba masanya untuk meletakkan senjata dan membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan. Saya memohon kedua-dua pihak untuk menepati perjanjian ini, dunia sedang memerhati," kata Setiausaha Negara A.S. Antony Blinken.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), konflik Sudan telah menyebabkan lebih 1 juta orang dipindahkan, seramai 850 orang terkorban dan sekurang-kurangnya 5,287 mengalami kecederaan.-REUTERS

Media Baharu