fb fb fb fb fb

Banjir: 14 maut, 36,000 hilang tempat tinggal di Itali

(Petani mengumpul babi ternakan untuk dibawa keluar dari kandang yang ditenggelami air
di bandar Lugo, Itali/AFP)

GHIBULLO, 21 Mei- Sekurang-kurangnya 14 orang meninggal dunia dan seramai lebih 36,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat banjir dan tanah runtuh di timur laut Itali pada Sabtu.

Hujan lebat sejak awal minggu ini juga telah mengubah jalan di bandar dan pekan di wilayah Emilia-Romagna di Bologna menjadi sungai.

Banjir itu telah menyebabkan lebih 305 tanah runtuh dan merosakkan atau menutup lebih 500 jalan di wilayah tersebut dengan amaran cuaca buruk peringkat merah dikeluarkan pihak berkuasa.

Datuk Bandar Bologna, Matteo Lepore berkata, ia akan mengambil masa berbulan-bulan, malah mungkin bertahun-tahun bagi beberapa kawasan untuk jalan dan infrastruktur dibaiki.

Sementara itu, Perdana Menteri, Giorgia Meloni berkata, beliau akan meninggalkan sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Jepun lebih awal untuk menangani kecemasan.

"Terus-terang saya tidak boleh tinggal jauh dari Itali dalam masa yang begitu kompleks ini," katanya dalam satu sidang media di Jepun.

Meloni turut mengucapkan terima kasih kepada kira-kira 5,000 penyelamat dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, serta rakan pemimpin G7 atas tawaran bantuan. -AFP

(Kereta yang dihanyutkan air berlumpur selepas banjir melanda
wilayah Emilia-Romagna/AFP)

Media Baharu