(Kediaman penduduk Koshytsa Street, Kiev rosak selepas serangan bom Rusia dikawasan berhampiran/AFP)
KIEV, 25 Februari- Tentera Rusia dilaporkan semakin mara ke wilayah Ukraine terutama di bahagian timur dan timur laut negara itu.
Bunyi letupan dan tembakan juga dilaporkan berlaku di bahagian utara Kiev, ibu negara Ukraine, menurut wartawan AFP yang membuat liputan pencerobohan tentera Rusia ke wilayah tersebut.
Penduduk dikatakan berlari menyelamatkan diri. Bunyi tembakan senjata ringan turut kedengaran di kawasan Obolonsky. Manakala bunyi letupan lebih kuat boleh didengar dari pusat bandar.
Tentera Rusia mula tiba di pinggir bandar Kiev sejak Khamis waktu tempatan selepas helikopter tentera menyerang sebuah lapangan terbang yang terletak berhampiran bandar Obolonsky.
Bagaimanapun, tentera Ukraine mendakwa mereka berjaya menangkis serangan di pangkalan udara Gostomel itu, menyebabkan kemaraan tentera Rusia agak terhalang.
Kementerian Pertahanan menerusi status di Facebook pula menggesa penduduk untuk terus bertahan.
"Kami meminta penduduk memaklumkan kepada kami tentang pergerakan tentera (Rusia) dan membuat bom Molotov bagi mengurangkan kemaraan musuh,” tulis kenyataan itu.
(Seorang wanita yang cedera menunggu di luar hospital selepas bandar Chuguiv diserang pada 24 Februari 2022/AFP)
Terdahulu, letupan awal pagi di Kiev memulakan siri pencerobohan tentera Rusia yang masuk hari ke-2 selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak mempedulikan amaran Barat dan meneruskan operasi tentera darat dan udara berskala besar di Ukraine.
Tindakan itu, setakat ini telah meragut berpuluh-puluh nyawa dan menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 penduduk terpaksa mencari perlindungan.
Amerika Syarikat dan sekutunya pula, buat masa ini hanya bertindak dengan mengenakan pelbagai sekatan.
Pada Khamis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata sekurang-kurangnya 137 orang ‘wira’ terbunuh pada hari pertama pertempuran memaksa tentera simpanan dikerah di seluruh negara.
Zelensky dalam ucapannya menyebut kini terdapat "tirai besi baharu" antara Rusia dan seluruh dunia serta menambah negara (Ukraine) "dibiar sendirian" melawan musuh.
"Siapa yang bersedia untuk berjuang bersama kita? Saya tidak nampak sesiapa."