fb fb fb fb fb

Tentera Rusia masuk ke Ukraine dari beberapa arah, ruang udara di sempadan Ukraine-Belarus ditutup

(Penduduk berbaris untuk mengeluarkan wang di Kiev pada pagi 24 Februari 2022 selepas Rusia umum melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine/AFP)

KIEV, 24 Februari– Pasukan tentera Rusia dilaporkan mula memasuki  Ukraine dari beberapa lokasi, menurut kenyataan pengawal sempadan Ukraine beberapa jam selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin umum melancarkan pencerobohan secara besar-besaran.

Pengawal sempadan memaklumkan kereta kebal Rusia dan beberapa peralatan senjata berat lain, telah melintas sempadan di beberapa bahagian utara, juga dari Semenanjung Crimea.

Turut dilaporkan salah seorang anggota tentera Ukraine terbunuh (pengawal sempadan) dalam serangan di sempadan Crimea itu, kematian melibatkan anggota tentera pertama secara rasmi disahkan dalam pencerobohan terbaharu Rusia.

Sejak konflik lapan tahun dengan puak pemisah disokong Rusia, banyak kematian direkodkan di pihak Ukraine, namun tiada kematian dilaporkan di sepanjang bahagian selatan sempadan dengan Crimea untuk tempoh beberapa tahun.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia mendakwa, tenteranya berjaya melumpuhkan beberapa pangkalan udara tentera Ukraine termasuk sistem pertahanan udaranya.

“Operasi pengkalan udara tentera Ukraine sudah dilumpuhkan, termasuk sistem pertahanan udara,” jelas kenyataan itu.

Tentera Rusia juga didakwa sudah menawan beberapa kawasan dengan bantuan kumpulan pemisah yang menyokongnya, menurut laporan AFP.

 

(Pemandu kereta menunggu giliran untuk mengisi petrol di Kiev pada pagi 24 Februari 2022/AFP)

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Rusia pada Khamis telah mengumumkan penutupan ruang udaranya kepada penerbangan awam di sempadan Ukraine dan Belarus.

Satu notis telah dikeluarkan selepas Presiden, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, lapor Agensi Anadolu.

Menurut notis itu: "Penggunaan ruang udara di sempadan Rusia dengan Ukraine dan Belarus ditutup sementara waktu kepada pesawat awam atas faktor keselamatan berikutan penggunaan senjata dan peralatan ketenteraan.”

Kementerian Pertahanan Rusia didakwa menggunakan 'senjata canggih' untuk melumpuhkan sistem pertahanan udara, lapangan terbang tentera, dan angkatan tentera udara di Ukraine.

Media Baharu