(Asap kelihatan dari lapangan terbang tentera Ukraine, Chuguev selepas Rusia mendakwa berjaya memusnahkan pangkalan tentera Ukraine/AFP)
KIEV, 24 Februari- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan bahawa Rusia sudah memulakan pencerobohan dengan menyerang "kemudahan ketenteraan" Ukraine dan pengawal sempadan.
Namun Zelensky menggesa rakyat supaya tidak panik dan berikrar untuk kemenangan.
Menerusi mesej video di Facebook selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan untuk melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine, Zlensky turut mengisytiharkan pemerintahan tentera di seluruh negara dan menyatakan bahawa dia telah bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengenai perkara tersebut.
"Pagi ini, Rusia telah melancarkan operasi ketenteraan ke atas negara kita," jelas Zelensky dalam mesej berasingan yang dimuat naik dalam laman web presiden.
"Ini adalah pencerobohan tidak berasas dan pencerobohan sinis.
"Kami, rakyat Ukraine, suda menetapkan masa depan sendiri sejak tahun 1991, katanya merujuk kepada tahun kejatuhan Kesatuan Soviet.
"Tetapi sekarang, apa yang diputuskan bukan sahaja masa depan negara kami, tetapi juga bagaimana masa depan Eropah, kata Zelensky.
Sementara itu, menurut sumber pengawal sempadan, Rusia telah memulakan serangan dan pencerobohan di sepanjang sempadan bahagian utara dan selatan dan serangan itu dibalas tentera Ukraine.
Sumber itu memaklumkan tentera Rusia mendapat sokongan Belarus dan serangan itu dilancarkan dari Crimea, wilayah semenanjung diduduki Rusia, iaitu dibahagian selatan Ukraine.
"Serangan terhadap unit sempadan dan pusat pemeriksaan sempadan menggunakan artileri, senjata berat dan ringan," kata kenyatan pengawal sempadan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Ukraine melaporkan kejatuhan bandar Shchastya yang terletak berhampiran kawasan yang dikuasai pemberontak.