fb fb fb fb fb

Tentera Pakistan, India bertempur lagi, hubungan terus tegang

Foto AFP

KASHMIR, 27 April – Tentera Pakistan dan India bertempur di kawasan Kashmir yang dipertikaikan untuk malam ketiga berturut-turut, menurut pegawai yang mengesahkan kejadian tersebut.

Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika hubungan antara dua kuasa nuklear tersebut berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun.

India menuduh Pakistan menyokong keganasan rentas sempadan selepas lelaki bersenjata melakukan serangan ke atas orang awam di Kashmir serta membunuh 26 orang di sebuah destinasi pelancongan di Pahalgam pada 22 April lalu.

Islamabad menafikan sebarang penglibatan dan menganggap cubaan mengaitkan Pakistan dengan serangan itu sebagai tidak berasas dan berikrar akan bertindak balas terhadap sebarang tindakan dari India.

Tentera India melancarkan pencarian besar-besaran untuk mencari individu yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut.

Tentera India pada Ahad menyatakan bahawa tembakan menggunakan senjata ringan telah dilancarkan oleh Pakistan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan kedua-dua negara.

"(Tentera kami) bertindak balas dengan berkesan menggunakan tembakan senjata ringan yang sesuai," tambah mereka.

Pakistan belum mengesahkan insiden berbalas tembakan terbaharu itu.

Polis India telah mengeluarkan poster untuk tiga individu yang dikehendaki berkait dengan serangan bersenjata yang mengorbankan 26 orang.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri India telah menyerahkan siasatan serangan itu kepada Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA), yang tertumpu pada usaha menanggani keganasan.

Agensi tersebut kini sedang memeriksa saksi, meneliti titik masuk dan keluar, selain mengumpulkan bukti forensik.

"Saksi sedang disoal siasat secara terperinci untuk menyusun semula urutan peristiwa yang membawa kepada salah satu serangan bersenjata terburuk di Kashmir," kata NIA dalam satu kenyataan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN