fb fb fb fb fb

Kenderaan rempuh festival jalanan di Vancouver, ramai terbunuh, cedera

Foto REUTERS

VANCOUVER, 27 April – Beberapa orang dilaporkan terbunuh dan ramai lagi cedera selepas seorang pemandu merempuh orang ramai di festival jalanan komuniti Filipina di Vancouver, Kanada, pada Sabtu, menurut polis tempatan.

Polis mengesahkan bahawa pemandu tersebut telah ditahan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Pihak berkuasa dijangka memberikan perkembangan terkini pada tengah malam (0700 GMT).

Kejadian itu berlaku pada pukul 8.00 malam waktu tempatan, berhampiran East 41st Avenue dan Fraser Street, di lokasi 'Lapu Lapu Day Block Party' berlangsung.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, turut melahirkan rasa sedih menerusi platform X.

“Saya amat terkesan dengan kejadian mengerikan di festival Lapu Lapu di Vancouver petang ini", katanya.

Datuk Bandar Vancouver, Ken Sim serta Premier British Columbia, David Eby, turut mengeluarkan kenyataan sama menerusi platform X.

Seorang saksi memberitahu CTV News bahawa dia melihat sebuah kenderaan berwarna hitam memandu secara berbahaya di sekitar kawasan festival sebelum merempuh orang ramai.

Pemimpin Parti Demokratik Baru Kanada Jagmeet Singh, turut hadir di acara tersebut, namun meninggalkan lokasi kejadian beberapa minit sebelum kenderaan itu merempuh orang ramai, lapor CTV News.

"Ini sangat mengerikan, saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya baru sahaja berada di sana dan saya terbayang wajah kanak-kanak yang saya lihat tersenyum dan menari", kata Singh, menurut CTV. 

The Vancouver Sun melaporkan bahawa ribuan orang berada di kawasan tersebut pada waktu kejadian.

"Saya tidak sempat melihat pemandu, yang saya dengar hanya bunyi enjin yang kuat," kata Yoseb Vardeh, pemilik bersama trak makanan Bao Buns, dalam satu wawancara dengan Postmedia.

"Saya keluar dari trak makanan saya, melihat ke jalan dan saya melihat tubuh bergelimpangan di mana-mana. Dia merempuh seluruh blok itu, meluru terus ke tengah", kata Vardeh. -REUTERS

ROSLINA BINTI DIN