fb fb fb fb fb

Nintendo uji permintaan Switch 2 di tengah isu harga global

Foto Reuters

CHIBA, 27 April – Peminat Nintendo berpeluang mencuba peranti permainan baharu Switch 2 dalam satu acara khas berhampiran Tokyo, Sabtu lalu, menjelang pelancarannya yang dilihat dibayangi kebimbangan berhubung peningkatan tarif yang mungkin membawa kepada kenaikan harga.

Seorang peserta acara, Hidenori Tanaka, 55, pekerja syarikat hartanah, meluahkan kebimbangannya terhadap potensi kenaikan harga konsol dan aksesori permainan akibat dasar tarif pentadbiran Amerika Syarikat (AS).

"Sejak Encik Trump menjadi presiden, tarif telah meningkat, jadi saya bimbang tentang kenaikan harga bukan sahaja untuk konsol permainan tetapi juga untuk aksesori," katanya.

Ketidaktentuan tarif global yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump, terhadap negara perdagangan termasuk China, telah meningkatkan kos pengeluaran bagi syarikat yang bergantung kepada rantaian bekalan global.

Walaupun beberapa tarif telah ditarik balik, ancaman perang perdagangan masih menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pemain industri.

Acara prapelancaran yang diadakan di Pusat Konvensyen Makuhari Messe itu menyaksikan para peminat mula beratur sejak awal pagi untuk mencuba permainan seperti Mario Kart World, Donkey Kong Bonanza, dan pelbagai tajuk lain yang tersedia di Switch 2.

Meskipun terdapat kemungkinan kenaikan harga, petunjuk awal menunjukkan permintaan pengguna terhadap pengganti Switch kekal kukuh.

Sejak dilancarkan pada 2017, Switch telah terjual lebih 150 juta unit di seluruh dunia, sekali gus mengubah nasib syarikat permainan berpangkalan di Kyoto itu.

Nintendo turut memaklumkan pada Rabu lalu bahawa sebanyak 2.2 juta permohonan telah diterima untuk cabutan bertuah Switch 2 di Jepun, namun syarikat itu tidak dapat memenuhi keseluruhan permintaan.

"Sejujurnya, saya tidak sangka saya berpeluang. Semua orang di media sosial kata mereka tidak berjaya, jadi saya fikir saya pun begitu," kata Hyuma Hashiguchi, 28, yang memenangi cabutan bertuah untuk menjadi antara yang pertama memiliki Switch 2.

Selain Jepun, Nintendo turut menganjurkan acara percubaan Switch 2 di beberapa lokasi utama dunia termasuk di New York, Berlin dan Hong Kong.

Switch 2 dijual pada harga 49,980 yen (AS$350) untuk versi bahasa Jepun sahaja.

Di Amerika Syarikat, Nintendo pada awalnya menangguhkan prapesanan susulan kebimbangan tarif, namun kemudian mengumumkan harga jualan akan dikekalkan pada AS$449.99.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN