ORAN, 27 April– Sekurang-kurangnya empat orang maut, manakala 13 orang lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di bandar pesisir barat Algeria, Oran, menurut pihak berkuasa pada Ahad.
Menurut Agensi Pertahanan Awam, kejadian berlaku lewat malam Sabtu di daerah Hai Essanouber itu juga menyebabkan lima buah rumah terjejas.
Pihak berkuasa dalam satu kenyataan berkata empat mangsa yang terkorban berusia antara lima hingga 43 tahun, manakala 13 mangsa lain yang cedera berumur antara 12 hingga 75 tahun dan mengalami pelbagai jenis kecederaan.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa tiada mangsa yang hilang dan jumlah kematian tersebut telah disahkan.
Setakat ini, punca tanah runtuh belum dikenal pasti dan pihak berkuasa masih belum mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut.-AFP