fb fb fb fb fb

Letupan di Iran: 25 orang terbunuh, lebih 700 cedera

Kemusnahan di tempat kejadian letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee, Bandar Abbas/ AFP

DUBAI, 27 April- Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh, manakala lebih 700 orang cedera dalam insiden letupan besar yang berlaku di pelabuhan terbesar Iran, Bandar Abbas, menurut laporan media rasmi Iran pada Ahad.

Letupan yang berlaku pada Sabtu itu dilaporkan berlaku di Pelabuhan Shahid Rajaee, merupakan hab kontena terbesar negara Iran dan dipercayai berpunca daripada bahan kimia.

Kesan letupan amat kuat sehingga memecahkan tingkap bangunan beberapa kilometer dari lokasi kejadian berhampiran Selat Hormuz.

Agensi Pengurusan Krisis Iran memaklumkan bahawa daripada 752 orang yang menerima rawatan, seramai 190 masih dirawat di pusat-pusat perubatan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Eskandar Momeni, yang melawat lokasi kejadian berkata bahawa 80 peratus daripada kebakaran telah berjaya dipadamkan setakat pagi tadi, dan usaha pemadaman akan diteruskan dalam tempph beberapa jam.

Sebahagian operasi pelabuhan yang tidak terjejas telah disambung semula.

Presiden Masoud Pezeshkian telah mengarahkan siasatan segera dijalankan. Walaupun bahan kimia dipercayai menjadi punca letupan, punca sebenar masih belum dikenal pasti.

Seorang jurucakap organisasi pengurusan krisis negara menyatakan bahawa letupan itu mungkin berpunca daripada penyimpanan bahan kimia yang tidak selamat di dalam kontena di pelabuhan tersebut.

Pihak berkuasa sebelum ini sudah mengeluarkan amaran berhubung risiko keselamatan.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Fatemeh Mohajerani menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi awal, menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

Letupan ini berlaku serentak dengan pusingan ketiga rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat di Oman. Setakat ini, tiada petunjuk yang menunjukkan insiden ini ada kaitan dengan rundingan tersebut.

Iran sebelum ini pernah mengalami beberapa insiden maut melibatkan infrastruktur tenaga dan industri, termasuk kebakaran di kilang penapisan minyak dan letupan gas di lombong arang batu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN