KATHMANDU, 10 September -Tentera Nepal membuat kawalan ketat jalan-jalan di ibu negara Kathmandu pada Rabu selepas tunjuk perasaan besar-besaran bertukar ganas.
Kenderaan perisai dan kereta kebal dilihat meronda jalan-jalan utama, manakala tentera memberi amaran melalui pembesar suara agar orang ramai tidak melakukan keganasan, rompakan atau membakar harta awam.
"Sebarang perbuatan vandalisme, rompakan, pembakaran atau serangan terhadap individu dan harta benda atas nama protes akan dianggap sebagai jenayah,” kata kenyataan rasmi tentera.
Lapangan terbang Kathmandu dijangka dibuka semula pada pukul 6 petang waktu tempatan selepas ditutup susulan keganasan, menurut pengurusnya, Hansa Raj Pandey.
Wartawan AFP melaporkan asap masih kelihatan dari bangunan kerajaan, rumah ahli politik, pasar raya dan pejabat media seperti Kumpulan Media Kantipur, yang turut menjadi sasaran pembakaran.
Protes bermula Isnin lalu, susulan larangan kerajaan terhadap media sosial dan isu rasuah.
Tindakan keras pihak berkuasa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa, mencetuskan kemarahan rakyat yang akhirnya membuat rusuhan.
Ketua Tentera Nepal Jeneral Ashok Raj Sigdel dalam satu kenyataan video menyeru semua pihak agar kembali ke meja rundingan, "demi keamanan negara, kami menyeru semua kumpulan yang terlibat untuk menghentikan protes dan memulakan dialog," katanya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyeru semua pihak agar menunjukkan "tindakan berhemah bagi mengelakkan keganasan terus meningkat", menurut jurucakap beliau, Stephane Dujarric. - AFP