fb fb fb fb fb

Sebuah lagi kapal Global Sumud Flotilla diserang

Foto AFP

TUNISIA, 10 September -Sebuah lagi kapal Global Sumud Flotilla telah diserang dalam satu insiden yang dipercayai serangan dron berhampiran perairan Tunisia, lewat malam Selasa.

Menurut kenyataan penganjur GSF, kapal yang didaftarkan bawah bendera Britain, Alma, sedang berlabuh di perairan Tunisia apabila ia “diserang” dan mengalami kerosakan akibat kebakaran di dek atas.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Wartawan AFP yang berada di lokasi melaporkan melihat sebuah kapal itu dari jauh, dikelilingi kapal penguat kuasa undang-undang Tunisia dengan lampu kecemasan menyala.

Insiden berlaku sehari selepas kapal lain dari flotila yang sama dilaporkan mengalami serangan serupa, namun pihak berkuasa Tunisia menafikan kehadiran sebarang dron.

Penganjur menyatakan mereka tetap akan meneruskan pelayaran aman tersebut pada Rabu seperti dirancang, “dengan semangat dan tekad yang tinggi”.

Flotila yang membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan itu sedang dalam misi untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, dan dijadualkan meneruskan pelayaran pada Rabu selepas beberapa kali tertangguh akibat cuaca dan isu teknikal.

"Ini ialah malam kedua dan serangan dron kedua," kata salah seorang penyelaras flotila, Melanie Schweizer kepada agensi berita AFP.

Pelapor khas PBB untuk wilayah Palestin Francesca Albanese, memuat naik video bot Alma yang terbakar dan mendakwa ia menunjukkan bukti serangan dron.

"Rakaman menunjukkan satu objek terbakar dijatuhkan dari jarak jauh ke atas dek bot, dipercayai oleh dron yang tidak menghidupkan lampu bagi mengelak dikesan," katanya di media sosial.

Flotila berkenaan tiba di Tunisia hujung minggu lalu dan berlabuh berhampiran Sidi Bou Said, utara Tunis, ketika insiden pertama dilaporkan.

Beberapa anggota flotila mendakwa mereka melihat dron sebelum kebakaran berlaku di bahagian haluan bot. Namun pihak berkuasa Tunisia menolak dakwaan tersebut sebagai "tidak berasas", dan mencadangkan kebakaran mungkin berpunca daripada puntung rokok.

Jurucakap Pengawal Kebangsaan Tunisia, Houcem Eddine Jebabli, berkata kepada AFP bahawa "tiada dron dikesan" setakat ini.

Bagaimanapun, rakaman keselamatan yang dikongsi oleh penganjur flotila menunjukkan satu objek menyala jatuh dari langit ke atas kapal.

‘Cubaan mengganggu dan menggagalkan’

Walaupun tidak menuding jari secara langsung, penganjur flotila menyatakan bahawa serangan yang disyaki itu berlaku ketika serangan Israel ke atas Gaza semakin memuncak, dan menggambarkannya sebagai "cubaan terancang untuk mengganggu dan menggagalkan misi kami".

Bagaimanapun tentera Israel tidak memberikan sebarang komen apabila dihubungi AFP. - AFP

TETITIA YUSOFF