MANILA, 20 Jun – Tentera Laut Filipina berjaya merampas 1.5 tan dadah bernilai 10 bilion peso (kira-kira US$175 juta) pada Jumaat, seterusnya menggagalkan penghantaran bahan terlarang itu daripada memasuki pasaran negara tersebut.
Menurut Panglima Pemerintah Tentera Laut Utara Luzon, Laksamana Muda Edward de Sagon, rampasan narkotik tersebut adalah antara yang terbesar dalam sejarah operasi maritim Filipina.
Ketika operasi, dua buah kapal ronda Tentera Laut telah memintas sebuah bot nelayan di luar pantai kepulauan besar Luzon yang didapati bergerak secara mencurigakan.
“Kami masih belum mengetahui dari mana dadah ini berasal, namun kami percaya muatan ini telah dipindahkan daripada kapal yang lebih besar ke bot nelayan sebelum ia dipintas," katanya dalam satu sidang media.
Empat individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam operasi bersama dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA).
Menurut jurucakap Tentera Laut, John Percie Alcos, rampasan ini merupakan salah satu kejayaan terbesar dalam sejarah rampasan narkotik oleh Tentera Laut Filipina.
Awal bulan ini, sejumlah besar dadah turut ditemui hanyut di utara lokasi tangkapan terbaharu ini, seterusnya menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti penyeludupan dadah melalui jalan laut.
Methamphetamine (syabu) merupakan dadah paling banyak digunakan di negara itu dan menjadi fokus utama kerajaan dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.
Rekod rampasan terbesar dalam sejarah narkotik Filipina adalah pada April tahun lalu, apabila lebih dua tan syabu dirampas menerusi sekatan jalan raya oleh polis di Batangas di selatan ibu negaranya. - AFP