TEL AVIV, 20 Jun – Bangunan kediaman di sebuah kejiranan di selatan Israel mengalami kerosakan teruk akibat dibedil peluru berpandu yang dilancarkan Iran pada pagi Jumaat, menurut rakaman saksi dan kenyataan rasmi pihak berkuasa.
Agensi paramedik tempatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya enam orang cedera, dan pasukan kecemasan kini sedang giat menjalankan operasi pencarian mangsa yang berkemungkinan terperangkap di blok-blok pangsapuri yang hampir musnah.
Perang udara antara Israel dan Iran kini memasuki minggu kedua, dengan pemimpin Eropah cuba memujuk Tehran kembali ke meja rundingan kerana bimbangkan pergolakan di Asia Barat itu semakin memuncak, seterusnya memberi kesan buruk kepada situasi tenaga global.
Presiden Donald Trump pula berkata, sebarang keputusan berkaitan penglibatan ketenteraan Amerika Syarikat dalam konflik tersebut akan dibuat dalam tempoh dua minggu.
Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Jumaat lalu, dengan alasan bagi menghalang musuh lamanya itu daripada membangunkan senjata nuklear.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron bertalu-talu ke atas beberapa kawasan strategik di negara haram itu memfokuskan infrastruktur pertahanan Israel. - REUTERS