fb fb fb fb fb

Penduduk dipindahkan, banjir landa selatan China

Foto AFP

BEIJING, 20 Jun – Pasukan penyelamat memindahkan penduduk, selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir besar melanda beberapa bandar dan kawasan di wilayah selatan China termasuk Hunan dan Hubei, menurut laporan penyiar rasmi negara, China Central Television (CCTV).

Bahagian tengah dan selatan China kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan risiko banjir kilat pada Jumaat, ketika musim monsun Asia Timur semakin memuncak dan hujan lebat luar biasa.

Pada Khamis, hujan lebat di selatan Hunan telah mencetuskan banjir terburuk sejak tahun 1998 di bahagian hulu dan hilir Sungai Lishui, selepas paras air sungai itu melepasi paras bahaya, lebih dua meter.

Sementara itu, menurut agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Sumber Air dan ramalan cuaca negara, amaran merah yang pertama dikeluarkan tahun ini diumumkan pada Khamis melibatkan wilayah Anhui, Henan, Hubei, Hunan, Guizhou serta Guangxi.

China kini berdepan fenomena hujan lebat melibatkan banyak kawasan, yang menurut ahli meteorologi berpunca daripada perubahan iklim, sekali gus meningkatkan risiko bencana kepada populasi besar negara itu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN