GENEVA, 20 Jun – Jumlah individu yang terpaksa meninggalkan kediaman akibat peperangan, keganasan dan penindasan meningkat kepada 122.1 juta orang, sehingga April tahun ini.
Menurut Laporan Trend Global terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), angka tersebut menunjukkan peningkatan dalam tempoh sepuluh tahun berturut-turut.
Laporan tersebut mendedahkan pada akhir tahun 2024, jumlah pelarian dalaman (IDP) mencecah 73.5 juta, manakala jumlah pelarian yang melarikan diri ke luar negara berjumlah 42.7 juta.
Dari segi bilangan serantau, Sudan mencatatkan perpindahan terbesar di dunia, dengan 14.3 juta pelarian dan IDP, diikuti Syria dengan 13.5 juta dan Afghanistan dengan 10.3 juta.
Laporan itu menyatakan bahawa 60 peratus individu yang terpaksa melarikan diri tidak pernah meninggalkan negara asal mereka dan 73 peratus daripada pelarian dunia dihoskan oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Walaupun jumlah pelarian telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad lalu, pembiayaan untuk agensi pelarian PBB kekal pada tahap yang sama seperti tahun 2015, menurut laporan itu.
Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada setiap 20 Jun, ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk menghormati pelarian di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menghormati hak, keperluan dan impian individu yang terpaksa melarikan diri demi keselamatan dan kehidupan yang lebih baik.-REUTERS