fb fb fb fb fb

Ribuan orang sertai tunjuk perasaan di Iraq, protes perang Israel-Iran

Foto AFP

Baghdad, 20 Jun– Ribuan penyokong ulama berpengaruh Iraq, Moqtada Sadr, memenuhi jalan di Baghdad dan beberapa bandar lain pada Jumaat bagi membantah perang antara Israel dan Iran, lapor wartawan AFP.

Penunjuk perasaan berkumpul di Kota Sadr, Baghdad, selepas solat Jumaat sambil melaungkan slogan “Tidak kepada Israel! Tidak kepada Amerika!”.

"Ini adalah perang yang tidak adil... Israel tiada hak untuk menyerang Iran", kata seorang penunjuk perasaan, Abu Hussein, seorang pemandu teksi berusia 54 tahun.

Beliau turut mendakwa bahawa serangan Israel bukan semata-mata berkaitan program nuklear Iran, tetapi bertujuan untuk menguasai Asia Barat dengan sokongan Amerika Syarikat.

Abu Hussein menyatakan harapannya agar Iran menang dalam konflik tersebut dan menyeru Iraq menyokong negara jiran itu dengan wang, senjata dan protes.

Di Basra, selatan Iraq, kira-kira 2,000 orang turut mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat, menurut wartawan AFP.

Seorang ulama, Qusai al-Assadi (43), mengecam penggunaan ruang udara Iraq oleh Israel untuk menyerang Iran dan menyifatkannya sebagai pencerobohan terhadap kedaulatan Iraq. Beliau turut memberi amaran terhadap perang dunia ketiga menentang Islam.

Assadi mengulangi pendirian Moqtada Sadr bahawa Iraq tidak sepatutnya terjerumus dalam konflik itu.

Dalam satu kenyataan awal minggu ini, Sadr mengecam keganasan Zionis dan Amerika serta pencerobohan terhadap negara jiran Iran, Palestin, Lubnan, Syria dan Yaman dengan merujuk kepada operasi ketenteraan Israel di negara tersebut.

Sadr, yang pernah memimpin menentang tentera pimpinan AS selepas pencerobohan Iraq pada 2003, masih mempunyai pengaruh besar dalam politik Iraq dan disokong oleh jutaan pengikut dalam kalangan masyarakat Syiah negara itu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN