GAZA, 20 Jun- Sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin terbunuh pada Jumaat termasuk 31 orang yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, dalam serangan terbaharu tentera Israel.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata lima mangsa maut ketika menunggu bantuan di selatan Gaza, manakala 26 lagi terbunuh berhampiran kawasan tengah dikenali sebagai koridor Netzarim, satu kawasan yang kini dikawal oleh tentera Israel.
Ribuan rakyat Palestin berkumpul setiap hari di kawasan itu untuk mendapatkan bekalan makanan, ketika kebuluran semakin memuncak selepas lebih 20 bulan konflik.
Tentera Israel memberitahu bahawa anggotanya di kawasan Netzarim melepaskan tembakan amaran terhadap beberapa individu yang didakwa menghampiri mereka.
"Apabila individu-individu tersebut terus mara, sebuah pesawat melancarkan serangan udara dan menghapuskan ancaman", menurut kenyataan tentera.
Insiden serupa dilaporkan berlaku sejak penghujung Mei, selepas Yayasan Kemanusiaan Gaza, yang disokong oleh AS dan Israel, mula mengedarkan bantuan di wilayah tersebut.
Bassal berkata 14 terbunuh dalam dua serangan berasingan, di kawasan Deir el-Balah di tengah Gaza, manakala 13 yang lain terbunuh dalam tiga serangan udara Israel di kawasan bandar Gaza.
Sementara itu, sayap bersenjata kumpulan pejuang Palestin Briged Al-Quds mendakwa telah melancarkan serangan ke atas pos tentera Israel di Khan Yunis, mengakibatkan beberapa anggota tentera rejim Zionis maut dan cedera.-AFP