fb fb fb fb fb

Serangan kemudahan nuklear Iran disifatkan sebagai jenayah perang

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi/ REUTERS

Geneva, 20 Jun– Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, menyifatkan serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai jenayah perang yang serius, ketika ucapan pada sesi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Jumaat.

"Kami sepatutnya bertemu dengan pihak Amerika Syarikat pada 15 Jun bagi memeterai satu perjanjian yang menjanjikan penyelesaian aman terhadap isu-isu yang direka berkaitan program nuklear aman kami.

"Tapi itu dikhianati... satu tamparan hebat terhadap asas undang-undang antarabangsa dan sistem PBB," ujar Araqchi.

Kenyataan itu dibuat sebelum rundingan bersama para pemimpin Eropah termasuk Perancis, Britain, Jerman dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, dalam usaha diplomasi berhubung program nuklear Iran.

Menurut dua diplomat Eropah, Iran bakal diberitahu bahawa Amerika Syarikat masih terbuka untuk rundingan, walaupun harapan untuk berjaya adalah tipis, susulan ketegangan semasa.

Rundingan itu berlangsung ketika ketegangan memuncak antara Israel dan Iran, susulan serangan Israel pada Jumaat lalu yang didakwa bertujuan menghalang Iran membangunkan senjata nuklear.

Iran menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan damai dan membalas serangan itu dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN