fb fb fb fb fb

Tekanan inflasi meningkat, harga beras naik berganda

Foto AFP

TOKYO, 20 Jun – Harga beras di Jepun meningkat dua kali ganda dalam tempoh 12 bulan setakat Mei, menurut data yang dikeluarkan pada Jumaat, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri, Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya bulan hadapan.

Mei lalu, harga beras melonjak 101 peratus berbanding tahun sebelumnya, selepas mencatat peningkatan 98.4 peratus pada April dan lebih 92.5 peratus pada Mac.

Krisis beras ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah luar biasa dengan melepaskan stok kecemasan sejak Februari, langkah yang biasanya hanya diambil ketika bencana.

Kenaikan ini turut mendorong inflasi teras Jepun (tidak termasuk harga makanan segar) kepada 3.7 peratus, kadar tertinggi sejak Januari 2023, dan lebih tinggi berbanding 3.5 peratus pada April.

Namun, beras bukan satu-satunya faktor penyumbang kepada inflasi kerana faktor lain turut menyumbang, antaranya adalah kenaikan bil elektrik sebanyak 11.3 peratus, bayaran gas yang meningkat sebanyak 5.4 peratus serta harga pengguna turut meningkat 3.3 peratus, berbanding 3.0 peratus pada April.

Pilihan raya bagi parlimen Jepun itu dianggap kritikal buat Ishiba selepas sokongan rakyat terhadap pentadbirannya merosot ke tahap terendah sejak beliau memegang jawatan pada Oktober lalu, disebabkan kekecewaan awam terhadap kos sara hidup yang terus meningkat.

Antara punca utama kemarahan rakyat adalah kenaikan mendadak harga beras yang merupakan makanan ruji di negara itu selama beberapa bulan kebelakangan ini akibat gangguan rantaian bekalan dan kekurangan hasil tuaian.

Dalam pada itu, untuk meringankan beban rakyat, Perdana Menteri Ishiba berjanji akan memberi bantuan tunai sebanyak 20,000 yen (US$139) kepada setiap warganegara, dan dua kali ganda bagi setiap anak, sebagai sebahagian daripada kempen menjelang pilihan raya.

Sebelum ini, parti beliau, Parti Demokratik Liberal (LDP), mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya Oktober lalu apabila hilang majoriti akibat kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga dan skandal politik.

Ia merupakan keputusan pilihan raya paling buruk dalam tempoh 15 tahun buat LDP, yang hampir tidak pernah kehilangan kuasa sejak 1955.

Bagi menangani inflasi secara berperingkat pula, Bank of Japan mengekalkan kadar faedah tidak berubah minggu ini dan memperlahankan pembelian bon kerajaan.

Namun, penganalisis memberi amaran bahawa pertumbuhan ekonomi tetap akan perlahan, terutama dengan tekanan tambahan akibat tarif Amerika Syarikat dan konflik tenaga global.

Konflik antara Iran dan Israel juga dilaporkan bakal meningkatkan harga tenaga, menambah satu lagi risiko kepada ekonomi Jepun. - AFP

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM