NEW YORK, 20 Jun – Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong, pada Khamis menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya mengambil tindakan konkrit bagi mencapai gencatan senjata segera antara Israel dan Iran, susulan ketegangan yang semakin memuncak.
Bercakap dalam satu sidang media tidak rasmi di Ibu Pejabat PBB di New York, Fu menyatakan kebimbangan serius China terhadap kemungkinan tercetusnya konflik yang lebih besar di rantau itu.
“Kami amat bimbang dengan kemungkinan ketegangan akan semakin meruncing. Saya juga percaya majoriti masyarakat antarabangsa mempunyai pandangan yang sama, dimana kita perlu mencapai gencatan senjata segera dan orang awam perlu dilindungi. Isu nuklear hanya boleh diselesaikan melalui rundingan. Jadi, dalam oleh sebab itu, Majlis Keselamatan perlu mengambil langkah konkrit,” katanya.
Ketika ditanya mengenai reaksi China sekiranya Amerika Syarikat terlibat secara langsung dalam peperangan, Fu menjawab, "Kami berharap Presiden Trump tidak akan membuat keputusan sedemikian.”
Ketegangan antara Israel dan Iran memuncak selepas Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran pada 13 Jun, yang disusuli dengan serangan balas oleh Tehran.
Dalam tempoh seminggu ini, konflik tersebut menjadi konfrontasi paling besar antara dua musuh serantau itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. - REUTERS