fb fb fb fb fb

Tentera Korea Utara cedera terkena periuk api

Tentera Korea Utara sedang bekerja di lokasi dirahsiakan berhampiran sempadan negara yang dikawal ketat. Pemandangan diambil dari pusat kawalan tentera Korea Selatan/KEMENTERIAN PERTAHANAN KOREA SELATAN-AFP

SEOUL, 18 Jun- Sebilangan tentera Korea Utara dipercayai cedera apabila terkena letupan periuk api ketika puluhan mereka menghampiri sempadan negara yang berdekatan dengan Korea Selatan, hari ini.

Ia merupakan insiden kedua seumpama itu melibatkan tentera Korea Utara dalam tempoh dua minggu, dengan Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) percaya penyeberangan terbaharu itu -- seperti yang sebelumnya pada 9 Jun lepas -- adalah tidak disengajakan.

"Berpuluh-puluh tentera Korea Utara melintasi Garisan Persempadanan Tentera hari ini... (dan) berundur ke utara selepas tembakan amaran dilepaskan," kata seorang pegawai JCS.

Sejak April lepas, Korea Utara mengerahkan tentera "untuk mencipta tanah tandus", kata pegawai itu, sambil menambah Korea Utara juga meletakkan lebih banyak periuk api, mengukuhkan jalan taktikal, dan menambah apa yang kelihatan sebagai penghalang anti-kereta kebal.

"Tindakan Korea Utara itu seolah-olah sebagai langkah untuk mengukuhkan kawalan dalaman, seperti menghalang tentera atau warganya daripada berpaling tadah ke Selatan," katanya.

Sebilangan besar rakyat Korea Utara yang melarikan diri dari negara itu terlebih dahulu pergi ke China sebelum ke Korea Selatan, biasanya melalui negara lain, dengan hanya segelintir berjaya menyeberangi Zon Demilitarisasi (DMZ), yang dipenuhi periuk api serta bilangan tentera yang ramai daripada kedua-dua pihak. -AFP

SITI AISHAH MD ISA