ACAPULCO, 18 Jun- Polis Mexcio mengesahkan Datuk Bandar yang baru sahaja dipilih untuk salah satu majlis perbandaran di Acapulco mati dibunuh pada awal Isnin, kata pendakwa raya tempatan.
Ia merupakan kejadian terbaharu dalam siri serangan yang menyasarkan ahli politik.
Salvador Villalba Flores yang akan memegang jawatan pada Oktober di Copala, sebuah bandar dengan kira-kira 4,000 penduduk, 130 kilometer (80 batu) tenggara Acapulco ditembak mati ketika dalam perjalanan di lebuh raya, kata pendakwa raya di negeri Guerrero.
Pendakwa raya berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka telah melancarkan siasatan ke atas pembunuhan itu, tetapi enggan memberikan butiran lanjut.
Akhbar tempatan El Sur de Guerrero melaporkan bahawa Villalba adalah seorang kapten Tentera Laut yang telah bersara yang biasanya dilindungi oleh pengiring Pengawal Kebangsaan.
Namun pada masa kejadian, Vilalba dilaporkan mengembara seorang diri ke Mexico City apabila dia terbunuh.
"Datuk bandar yang dipilih itu diarahkan turun dari bas yang dinaikinya ketika ia berhenti berhampiran San Pedro las Playas" dan ditembak, lapor outlet itu.
Media tempatan juga melaporkan Villalba telah memutuskan untuk bertanding jawatan Datuk Bandar selepas rakannya, seorang calon, dibunuh pada Jun 2023.
Dalam pilihan raya umum Mexico pada 2 Jun, Claudia Sheinbaum yang berhaluan kiri telah dipilih oleh majoriti besar sebagai presiden wanita pertama negara itu.
Selain memilih presiden baharu, rakyat Mexico mengundi ahli Kongres, beberapa gabenor negeri dan pelbagai pegawai tempatan sejumlah lebih daripada 20,000 jawatan.
Sejak musim kempen pilihan raya Mexico bermula September lalu, berpuluh-puluh calon politik telah terbunuh, menurut Data Civica, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
Acapulco pernah menjadi 'taman permainan' untuk orang kaya dan terkenal, tetapi kilauannya telah hilang dalam dekad yang lalu kerana ianya dicemari dengan insiden pertumpahan darah dan dikuasai geng penjenayah yang menjadikannya salah satu bandar paling ganas di dunia.
Guerrero, salah satu negeri yang paling terjejas oleh keganasan kartel dadah memandangkan lokasinya di sepanjang pantai Pasifik Mexico, merekodkan 1,890 pembunuhan pada 2023.
Lebih 450,000 orang telah dibunuh dan beribu-ribu lagi dilaporkan hilang sejak kerajaan Mexico mengerahkan tentera untuk memerangi pengedaran dadah pada 2006.-AFP