OTTAWA, 14 Ogos- Tentera Kanada dikerah ke utara negara itu untuk membantu memadam kebakaran hutan ketika penduduk di beberapa komuniti terpencil melarikan diri daripada api.
Negara itu ketika ini sedang bersiap sedia berdepan gelombang haba yang dijangka akan menyemarakkan lagi kebakaran tersebut.
"Kami berdiri bersama penduduk Wilayah Barat Laut ketika mereka menangani kebakaran hutan yang serius," kata Menteri Pertahanan, Bill Blair pada X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Tentera Kanada telah menghantar ratusan anggota ke empat wilayah lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi membantu memerangi kebakaran hutan bersama hampir 11,000 anggota bomba termasuk 5,000 bomba dari negara lain.
Beberapa komuniti di Wilayah Barat Laut telah diarahkan berpindah termasuk 2,500 penduduk di Fort Smith ketika 233 kebakaran hutan melanda lebih 2.1 juta hektar hutan boreal.
Environment Canada memberi amaran bahawa suhu di Vancouver dan bahagian lain di British Columbia akan meningkat sehingga Rabu ini dengan kawasan berkenaan sedang berdepan 390 kebakaran hutan.
Empat orang telah mati dalam kebakaran hutan di negara itu bagi tahun ini. -AFP