fb fb fb fb fb

Tentera Israel gempur Tulkarm, penduduk dipaksa pindah

Foto WAFA

TULKARM, April 23- Pasukan penjajah Israel mengarahkan lebih banyak keluarga meninggalkan kediaman mereka di kem pelarian Tulkarm pada Selasa.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), wartawan melaporkan bahawa tentera Israel telah dikerahkan secara besar-besaran ke pelbagai kawasan kejiranan di bandar itu, termasuk sekitar Bulatan al-Miga.

Tentera menahan orang awam di kawasan tersebut, memeriksa kad pengenalan mereka dan melepaskan bom gegaran sebagai taktik keganasan.

"Di kawasan timur bandar, tentera Israel menghalau beberapa keluarga, termasuk keluarga Assias dan Abu al-Ghiyab, keluar dari kediaman mereka dengan senjata diacukan, serta menghalang mereka kembali sehingga pukul 7.00 malam.

"Di Jalan Nablus, tentera menyerbu sebuah restoran dan menahan seorang pekerja yang juga penduduk Bal'a, sebuah bandar di timur laut Tulkarm, sambil menutup laluan berhampiran kem pelarian itu menggunakan tayar.

"Rondaan tentera turut dikesan di kawasan Jabal An-Naser dalam kem pelarian berkenaan, di mana mereka mengejar dan menyerang beberapa pemuda Palestin, serta menahan sebahagian daripada mereka sebelum dibawa ke kem tentera berhampiran," menurut WAFA.

Tentera penjajah telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas bandar dan kem pelarian Tulkarm selama 86 hari berturut-turut, mengakibatkan kemusnahan meluas terhadap infrastruktur dan harta benda awam, selain memaksa ribuan penduduk berpindah.

Serangan itu berlaku ketika tentera Israel memperketat kawalan ketenteraan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, hanya beberapa jam selepas pembebasan 90 tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa pada 19 Januari, dengan menyekat dan mengasingkan bandar-bandar serta wilayah menggunakan pintu kawalan tentera, sekatan jalan dan blok konkrit.

Langkah-langkah ketenteraan Israel itu dilaksanakan seiring dengan serangan berterusan oleh pendatang haram Yahudi di seluruh Tebing Barat yang bertujuan menakut-nakutkan rakyat Palestin dan mengusir mereka dari tanah mereka untuk membuka jalan kepada pembinaan koloni haram yang memisahkan komuniti-komuniti Palestin.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM